WASHINGTON: Seorang warga emas berketurunan Asia mengalami cedera parah akibat diserang oleh lelaki tidak dikenali ketika cuba memasuki lobi bangunan pangsapurinya di New York, Amerika Syarikat (AS).
Lapor CNN, Jabatan Polis menerusi kenyataan memaklumkan mangsa ditumbuk lebih 125 kali di bahagian kepala dan muka serta dipijak sebanyak tujuh kali sebelum diludah oleh lelaki berkenaan.
Jelasnya, suspek dikenali sebagai Tammel Esco, 42, didakwa mengeluarkan kata-kata kesat berbaur perkauman sebelum bertindak menyerang mangsa berusia 67 tahun.
Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah apabila ternampak suspek berdiri di hadapan bangunan pangsapurinya.
Menurut kenyataan, Esco di dakwa melontarkan kata-kata kesat berbaur rasis namun mangsa tidak mengendahkannya lalu memasuki bangunan pangsapurinya.
“Ketika mangsa cuba membuka pintu untuk memasuki lobi, Esco didakwa menghampiri wanita itu dari belakang dan menumbuk kepalanya beberapa kali sehingga dia rebah ke lantai.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki itu menumbuk wanita di kepala dan muka lebih 125 kali dan kemudian memijak mangsa tujuh kali serta meludah ke atas mangsa,” jelas kenyataan itu.
Dilaporkan, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, patah tulang dan pendarahan otak.
“Dia dibawa ke pusat trauma dan kini berada dalam keadaan stabil,” jelas kenyataan itu.
Esco ditahan dan didakwa atas dua tuduhan iaitu cubaan membunuh dan melakukan serangan tahap kedua terhadap mangsa berusia 65 tahun ke atas.
Sejak pandemik Covid-19 bermula, ribuan warga Amerika berketurunan Asia di AS berdepan serangan perkauman yang mana mangsa diserang secara fizikal atau verbal.
Badan sosial bukan berasaskan keuntungan, Stop AAPI Hate merekodkan sebanyak 10,905 laporan berkaitan insiden perkauman terhadap keturunan Asia di AS dari 19 Mac 2020 hingga 31 Disember 2021.