LONDON: Seorang wanita di United Kingdom (UK) mengaku tidak pernah makan buah-buahan dan sayur-sayuran selama 22 tahun.
Sebaliknya, Summer Monro, 25, hanya bertahan dengan mengambil nugget ayam, kentang goreng dan kerepek kerana menghidap fobia makanan melampau.
Lapor Daily Mail, Monro dari Cambridge menghidap gangguan pengambilan makanan yang mengelak (ARFID) sejak kecil lagi.
Monro percaya dia mengalami gangguan tersebut selepas dipaksa untuk makan kentang putar ketika berusia tiga tahun.
Sejak itu, wanita itu hanya memakan nugget ayam Birds Eye, kerepek Walkers dan kentang goreng.
Malah, dia juga pernah menolak tawaran sebanyak 1,000 pound (RM5,495) daripada datuknya untuk makan sebiji kacang pea.
Monro tidak mengambil sarapan, sebaliknya gemar memakan sebungkus kerepek Walkers pada waktu tengahari dan enam hingga lapan ketul ayam nugget untuk makan malam.
Wanita itu sudah mencuba terapi sebanyak dua kali dan hipnoterapi untuk menangani masalah pemakanannya namun dia mengakui ia gagal mengatasi fobianya.
“Saya hanya makan nugget ayam atau kerepek. Berat badan saya juga turun naik berdasarkan makanan yang diambil.
“Malah, saya tak ingat bila kali terakhir saya pernah makan buah atau sayur,” katanya.
Sementara itu, Monro memaklumkan dia masih sihat dan tidak mengambil sebarang vitamin mahupun suplemen kesihatan.