COLOMBIA: Seorang wanita diserang oleh anjing peliharaannya sendiri sehingga tulang jari di tangan kanan dan kirinya patah di sebuah kondominium di Colombia.
Lapor Daily Mail, pemilik haiwan berusia 25 tahun itu diserang anjing jenis pitbull di bilik tidurnya semasa dia sedang mengikat tali kasut.
Mangsa berusaha menyelamatkan diri dengan menaiki lif, sambil anjing itu masih menggigit tangan kirinya.
Wanita itu berusaha menekan butang nombor di dalam lif untuk turun ke bahagian lobi, namun gagal menyebabkan dia menuruni tangga sambil tangannya masih digigit anjing berkenaan.
Mangsa memaklumkan sekiranya dia kekal berada di tingkat lima, tiada sesiapa yang akan menyelamatkan dirinya.
Semasa dia bergelut untuk duduk tegak, anjing itu menyerangnya sekali lagi sehingga mangsa berlumuran darah, sebelum dia dapat merangkak keluar dari lif yang tidak bergerak.
Wanita itu akhirnya terpaksa berjalan keluar dari tingkat lima ke lobi, sebelum jiran lain bergegas menarik anjing itu.
Polis Cucuta berkata, pihaknya mempunyai tempoh 10 hari untuk menjalankan kajian tingkah laku terhadap anjing tersebut, termasuk kemungkinan ‘menidurkannya’.
Anjing pitbull memiliki tubuh berotot dan fizikal yang kuat.
Haiwan itu juga memiliki rahang yang kuat sehingga sangat sukar melepaskan gigitannya yang bersifat ‘mengunci mangsa’.
Walaupun mendapat julukan sebagai anjing yang ganas, pitbull ternyata sangat setia kepada tuannya.
Pitbull juga mahir memanjat sehingga digelar sebagai anjing pemanjat terbaik dunia.