NEW YORK: Satu tinjauan yang dijalankan menunjukkan lebih separuh warga Amerika memihak pelakon, Will Smith berbanding Chris Rock berhubung insiden pelawak popular itu ditampar pada majlis Anugerah Akademi Ke-94.
Lapor Daily Mail, tinjauan dalam talian itu dijalankan oleh Blue Rose Research membabitkan seramai 2,162 warga Amerika Syarikat (AS) berhubung perselisihan antara Smith dan Rock di acara berprestij itu.
Dalam tinjauan tersebut, responden ditanya mengenai pandangan mereka berhubung ‘siapa yang bersalah’ dalam kontroversi di pentas Oscar.
Sebanyak 53.3 peratus responden menuduh Rock bersalah kerana mencetuskan insiden itu selepas membuat jenaka keterlaluan ke atas penampilan isteri Smith.
Menurut pakar penyelidik Blue Rose Research, David Shor, data menunjukkan majoriti rakyat AS memihak Smith.
“Berdasarkan keputusan tinjau an, kebanyakan individu berumur antara 18 dan 64 tahun percaya Rock bersalah dalam isu ini.
“Kira-kira 51.8 peratus daripada golongan berumur 65 tahun dan lebih tua pula berpandangan Smith melampaui batas,” jelasnya.
Tinjauan itu turut mendapati golongan lelaki dan wanita mempunyai pandangan amat berbeza mengenai insiden tersebut.
“Sebanyak 56.6 peratus wanita menganggap Rock bersalah manakala 52.4 lelaki berpendapat Smith harus dipersalahkan,” jelas laporan itu.
Tinjauan itu dibuat sebelum lembaga Anugerah Akademi mengadakan mesyuarat tergempar untuk mengkaji langkah serta tindakan lanjut yang akan diambil terhadap Smith.
Ahad lalu, Smith hilang sabar lalu bertindak menampar muka Rock selepas penyampai trofi itu mempersendakan imej Jada Pinkett Smith yang botak ketika siaran langsung Anugerah Akademi.