LOS ANGELES: Sekeping tiket perlawanan pertama bintang bola keranjang Amerika Syarikat (AS), Michael Jordan yang tidak pernah digunakan, dijual dalam satu acara lelongan.
Lapor Oddity Central, firma lelongan, Heritage Auctions berkata, tiket perlawanan kelab Chicago Bulls menentang Washington Bullets pada 26 Oktober 1984 itu, berjaya dijual pada harga AS$468,000 (RM1.96 juta).
Menurut Heritage Auctions, tiket perlawanan tidak digunakan itu merupakan satu-satunya ‘bukti hidup’ yang menandakan penampilan sulung bintang bola keranjang itu.
Bekas pemilik tiket itu, Mike Cole berkata, dia dihadiahkan dua tiket perlawanan oleh eksekutif Baltimore Bullets, Jerry Sachs ketika menghadiri Universiti Northwestern pada tahun 1980-an.
Katanya, satu daripada tiket itu masih dalam keadaan baik kerana dia tidak menemukan seorang lagi teman untuk menghadiri perlawanan tersebut.
Cole berkata, dia terkejut selepas mengetahui nilai jualan yang diperoleh bagi tiket tersebut.
“Saya tidak pernah fikirkan tiket ini akan bernilai begitu tinggi.
Saya menyimpan barang-barang seperti itu untuk dijadikan kenangan ketika menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya kepada Chicago Tribune.