MOSCOW: Tiga angkasawan Rusia akan berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada pukul 3.55 petang waktu tempatan dari Kosmodrom Baikonur Rusia di Kazakhstan.
Lapor Reuters, perjalanan bakal mengambil masa selama lebih tiga jam ke stesen ISS.
Komander Soyuz, Oleg Artemyev akan mengetuai pasukan yang turut disertai oleh dua pendatang baharu, Denis Matveev dan Sergey Korsakov, bagi misi penerbangan angkasa lepas yang ditetapkan selama enam bulan setengah.
Angkasawan itu akan menyertai kru tujuh anggota di ISS bagi menggantikan tiga angkawasan yang dijadualkan terbang kembali ke bumi, 30 Mac depan.
Tiga angkasawan tersebut ialah Pyotr Dubrov dan Anton Shkaplerov serta angkasawan NASA Amerika Syarikat, Mark Vande Hei.
Vande Hei dijangka kembali ke Kazakhstan selepas 355 hari berada di orbit.
Baru-baru ini, keluarga seorang angkasawan AS yang berdepan ugutan Rusia untuk ditinggalkan di angkasa lepas, menegaskan anak mereka tidak gentar dengan ancaman tersebut.
Vande Hei dijangka pulang dari ISS bersama dua angkasawan Rusia dengan menaiki kapal angkasa Soyuz.
Namun, ketua agensi angkasa Rusia, Roscosmos, Dmitry Rogozin mengancam untuk meninggalkan angkasawan berusia 55 tahun itu di angkasa lepas.
Rusia malah mengancam untuk menjatuhkan ISS ke bumi sebagai tindak balas AS menyokong Ukraine disebabkan pencerobohan Rusia ke atas negara itu.