Tiada bukti Rusia guna senjata kimia, biologi di Ukraine

Tiada bukti Rusia guna senjata kimia, biologi di Ukraine

BAHAGIAN ekor roket 30mm yang tidak meletup dan dipercayai mengandungi bom berangkai tertanam di dalam tanah selepas pertempuran antara tentera Rusia dan Ukraine di Kharkiv. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kelmarin, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mendakwa Presiden Rusia, Vladimir Putin berkemungkinan akan menggunakan senjata kimia dan biologi dalam peperangan di Ukraine.

Dakwaan itu dibuat selepas Rusia menuduh Ukraine membangunkan makmal senjata kimia dan biologi yang disokong AS.

Namun, dakwaan Biden seperti tidak berasas apabila seorang pegawai pertahanan negara ini memaklumkan, tiada sebarang petunjuk yang menunjukkan Rusia menggunakan senjata kimia atau biologi di Ukraine.

Enggan mendedahkan identitinya, pegawai itu memaklumkan kepada media tempatan bahawa peperangan di Ukraine ‘berlangsung seperti kebanyakan perang lain di seluruh dunia’ iaitu dengan menggunakan senjata yang sewajarnya.

“Setakat ini, tiada petunjuk menunjukkan Rusia menggunakan senjata kimia atau biologi di Ukraine biarpun terdapat kebimbangan pelbagai pihak.

“Namun, AS akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya.

 

BERHARAP TIDAK BERLAKU

Dalam pada itu, pegawai tersebut menegaskan AS sudah memberi amaran kepada Rusia untuk tidak sesekali menggunakan senjata kimia dalam peperangan di Ukraine.

Katanya, Rusia menyedari apa akibat yang bakal mereka tanggung sekiranya perkara itu dilakukan.

“AS sebolehnya tidak mahu penggunaan senjata kimia atau biologi dalam perang di Ukraine kerana kami menyedari kesannya terhadap pelbagai pihak, terutamanya rakyat.

“Rusia juga tahu apa akibatnya jika mereka gunakan senjata kimia,” ujarnya.

Pada awal bulan ini, penasihat keselamatan kebangsaan AS, Jake Sullivan bercakap dengan Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia, Nikolay Patrushev mengenai potensi Rusia untuk menggunakan senjata kimia di Ukraine.

Dalam perbualan itu, Sullivan memberi amaran kepada Rusia supaya tidak menggunakan senjata kimia atau Moscow akan menerima akibat yang ‘lebih dahsyat’.

 

PENYATUAN EROPAH

Pada minggu ini, Biden akan mengunjungi Eropah bagi ‘mengukuhkan penyatuan Eropah’ dalam menentang Rusia.

Selain itu, Biden dan sekutunya juga dijangka mengumumkan beberapa lagi sekatan terbaharu terhadap Rusia.

Biden berlepas ke Brussels semalam untuk menghadiri persidangan dengan Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) dan Majlis Kesatuan Eropah sebelum meneruskan perjalanan ke Poland bagi bertemu dengan Presiden Andrzej Duda.

Sullivan memaklumkan, kunjungan itu akan digunakan Biden untuk mengukuhkan penyatuan AS dengan sekutu, terutamanya dalam menyekat Rusia susulan perang di Ukraine.

Bagaimanapun, Sullivan enggan mendedahkan sekatan terbaharu yang akan dikenakan terhadap Rusia.

 

CHINA JADI TUMPUAN

Selain itu, pertemuan Biden dengan sekutu Eropah juga bakal berbincang mengenai China yang disifatkan sebagai ‘rakan baik’ Rusia.

Sehingga kini, Beijing enggan mengutuk tindakan Putin di Ukraine atau menyokong sekatan yang dikenakan Barat terhadap Rusia.

Pada masa yang sama, AS juga mahu memastikan China tidak akan terlibat dengan konflik yang berlaku selepas timbul laporan Moscow meminta bantuan dari Beijing berhubung peperangan yang tercetus.

Sullivan memaklumkan, tiada petanda China menghulurkan bantuan ketenteraan kepada Rusia setakat ini, namun situasi itu perlu dipantau dengan teliti.

 

100,000 TERPERANGKAP

Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memaklumkan kira-kira 100,000 penduduk terperangkap di bandar Mariupol yang sudah dikepung sepenuhnya oleh tentera Rusia.

Katanya, keadaan penduduk di bandar tersebut sangat daif dengan kekurangan bekalan makanan dan ubatan, selain terpaksa berdepan serangan udara Rusia yang bertubi-tubi.

“Kami cuba menguruskan koridor kemanusiaan bagi membolehkan penduduk keluar dengan selamat, namun setiap kali kami melakukannya, Rusia akan menggagalkan rancangan kami,” ujarnya. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya