Sri Lanka batal peperiksaan sekolah kerana kekurangan kertas - Utusan Malaysia

Sri Lanka batal peperiksaan sekolah kerana kekurangan kertas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Kerajaan Sri Lanka terpaksa membatalkan peperiksaan sekolah membabitkan jutaan pelajar di negara itu berikutan mengalami kekurangan kertas.

Krisis ekonomi yang didorong oleh kekurangan pertukaran mata wang asing bertambah buruk di negara itu.

Colombo ketika ini bergelut untuk mencari dolar bagi membiayai import penting termasuk makanan, bahan api dan ubat-ubatan.

Menurut pegawai di jabatan pendidikan, peperiksaan yang dijadualkan selama seminggu bermula Isnin depan akan ditangguhkan kerana kekurangan kertas.

“Pengetua sekolah tidak boleh mengadakan peperiksaan kerana pencetak gagal memperoleh pertukaran asing untuk mengimport kertas dan dakwat yang diperlukan,” jelas jabatan pendidikan wilayah Barat.

Berdasarkan sumber rasmi, langkah itu boleh menjejaskan kira-kira dua pertiga daripada 4.5 juta pelajar yang menduduki peperiksaan.

Sri Lanka ketika ini berdepan krisis kewangan terburuk sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1948.

Negara Asia Selatan itu mengumumkan pada minggu ini akan cuba mendapatkan bailout Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menyelesaikan krisis hutang luar negara yang semakin teruk dan menambah rizab luar.

Semalam, IMF mengesahkan pihaknya sedang mempertimbangkan permohonan Presiden Gotabaya Rajapaksa untuk membincangkan bailout.

Dilaporkan, sektor pelancongan Sri Lanka yang merupakan penyumbang utama mata wang asing, runtuh berikutan pandemik Covid-19.

Susulan itu, kerajaan mengenakan larangan import secara meluas pada Mac 2020 untuk menyelamatkan mata wang asing. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya