SINGAPURA: Negara ini akan membuka pintu sempadan kepada semua pengembara yang sudah lengkap divaksin tanpa perlu melalui skim Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) dan aturan pembukaan sehala mulai 1 April depan.
Lapor berita.mediacorp, Penguasa Penerbangan Awam Singapura hari ini berkata, Singapura akan beralih kepada rangka kerja perjalanan vaksinasi dipermudahkan dengan negara dan wilayah disenaraikan kepada dua kategori iaitu perjalanan am atau kategori terhad.
Di bawah rangka kerja itu, semua pelawat yang lengkap divaksin serta kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, akan dapat memasuki Singapura dengan hanya mengambil ujian Covid-19 sebelum melakukan penerbangan, bermula pukul 11.59 malam, 31 Mac ini.
Pelancong juga tidak perlu lagi memohon kelulusan kemasukan atau menaiki pengangkutan VTL yang ditetapkan untuk memasuki Singapura tanpa kuarantin.
Di samping itu, tiada lagi kuota ditetapkan bagi bilangan ketibaan setiap hari, tidak perlu menjalani notis larangan keluar rumah atau perlu mengambil ujian pantas antigen selepas tiba di Singapura.
Meskipun begitu, pelawat masih tertakluk kepada ujian calitan dua hari sebelum berlepas ke Singapura.
Bagi pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek berumur 13 tahun ke atas yang tidak lengkap divaksin, mereka secara amnya tidak dibenarkan memasuki Singapura.
Bagaimanapun, beberapa pengecualian dibuat termasuk pemegang pas jangka panjang yang tidak layak divaksin atas sebab perubatan serta mereka yang dapat kelulusan kemasukan sah atas sebab belas ihsan.
Bagi kumpulan itu, mereka dikehendaki mengambil ujian dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Singapura, menjalani notis jangan keluar rumah selama tujuh hari dan mengambil ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) selepas tempoh pengasingan.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Kesihatan berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan Covid-19 tempatan dan global serta mempertimbangkan langkah membatalkan keperluan ujian sebelum berlepas dalam beberapa minggu akan datang.
“Ini adalah langkah berjaga-jaga kerana kes Covid-19 semakin meningkat di beberapa negara.
“Kami akan menyemak semula keperluan ini dalam dua hingga empat minggu menjelang pertengahan April, dengan mengambil kira penilaian kesihatan awam semasa,” katanya.
Proses memudahkan pelawat yang divaksin mengunjungi Singapura dilakukan selepas jangkitan Covid-19 di negara ini semakin stabil dan banyak negara sudah melepasi puncak gelombang Omicron.