NEW YORK: Aplikasi Snapchat mematikan fungsi lokasinya di Ukraine atas sebab keselamatan, susulan serangan Rusia yang masih berlanjutan sehingga hari ini.
Lapor The Verge, Snap Map menunjukkan jumlah ‘snaps’ yang dimuat naik atau Snapchat yang diambil di sesebuah lokasi.
Snap Map menggunakan warna untuk menunjukkan bilangan individu yang memuat naik sesebuah gambar.
Dengan melihat ‘heatmap’ tersebut, pengguna dapat mengetahui lokasi pengguna Snapchat lain yang memuat naik kandungan tersebut.
Bagaimanapun, lokasi yang terdapat dalam Snap Map tidak tepat 100 peratus kerana hanya memberikan gambaran lokasi pengguna Snapchat berada.
Contohnya, di Seattle, Amerika Syarikat, akan dilihat lebih banyak kandungan yang dimuat naik oleh pengguna berada di kawasan bandar berbanding di hutan terdekat.
Snapchat melihat ciri-ciri tersebut boleh disalahgunakan untuk mengesan pergerakan rakyat awam.
Snapchat juga meniru langkah media sosial lain dengan tidak lagi menjual iklan kepada pengguna dari Rusia.
Aplikasi lain yang menggunakan ciri GPS juga melakukan perkara serupa supaya pergerakan orang awam tidak dapat dikesan.
Google dan Apple sebelum ini mematikan ciri lalu lintas sebenar di Ukraine.