KABUL: Taliban menutup semula sekolah untuk remaja perempuan, beberapa jam selepas dibuka pagi ini.
Jurucakapnya, Inamullah Samangani mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan remaja perempuan diarahkan supaya terus berada di rumah.
Arahan terbaharu itu secara tidak langsung menimbulkan kekeliruan kerana sebelum ini Taliban mengumumkan remaja dan kanak-kanak perempuan boleh bersekolah.
Malahan, tarikh pembukaan sesi persekolahan itu dijadualkan hari ini.
Puluhan ribu pelajar perempuan kembali ke sekolah pagi tadi, tujuh bulan selepas Taliban memegang tampuk pentadbiran Afghanistan.
Semua sekolah di seluruh negara ditutup akibat pandemik Covid-19, namun hanya pelajar lelaki dibenarkan menyambung persekolahan selepas itu.
Komuniti antarabangsa mengutuk keputusan berat sebelah Taliban yang hanya membenarkan pelajar lelaki bersekolah dan membiarkan pelajar perempuan di rumah.
Kementerian Pendidikan memaklumkan, sekolah dibuka hari ini di beberapa wilayah termasuk Kabul, tetapi sekolah di wilayah selatan Kandahar yang merupakan pusat Taliban ditutup sehingga bulan depan.
Taliban menegaskan, mereka mahu memastikan sekolah untuk kanak-kanak perempuan berusia 12 hingga 19 tahun diasingkan dan beroperasi mengikut prinsip Islam. – AFP