LOS ANGELES: Sekumpulan saintis di California berjaya membalikkan proses penuaan pada tikus pertengahan umur dan tua dengan menggunakan teknik `peremajaan’ selular.
Lapor Daily Mail, pasukan pakar itu menunjukkan mereka mampu mengubah semula sebahagian sel tikus menjadi lebih muda dengan menggunakan empat molekul dikenali sebagai faktor transkripsi Yamanaka.
“Selepas menyuntik molekul ini dalam tikus pelbagai peringkat umur, buah pinggang dan kulit haiwan itu menunjukkan tanda-tanda peremajaan.
“Sel kulit haiwan itu pula mempunyai keupayaan lebih tinggi untuk membiak dan kurang kemungkinan membentuk parut kekal,” jelas laporan itu.
Menurut pasukan penyelidik, rawatan `selamat’ itu dikatakan mampu membantu manusia memulihkan jam biologi mereka sekali gus mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan kanser.
Berdasarkan penemuan itu, tempoh rawatan tujuh hingga 10 bulan mungkin diperlukan untuk mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini akibat penuaan.
Pengarang bersama kajian dan pensyarah dari Institut Salk, San Diego, California, Juan Carlos Izpisua Belmonte berkata, teknik digunakan itu selamat dan berkesan pada tikus.
“Kami sangat gembira dapat menggunakan pendekatan ini untuk melambatkan penuaan pada haiwan biasa.
“Selain itu, pendekatan ini juga membantu komuniti bioperubatan memulihkan semula tisu dan kesihatan organisma dengan meningkatkan fungsi serta daya tahan sel dalam situasi penyakit berbeza,” katanya.
Faktor transkripsi Yamanaka yang merangkumi protein Oct4, Sox2, Klf4 dan cMyc pada asalnya dipelopori lebih 15 tahun lalu oleh saintis warga Jepun yang memenangi Hadiah Nobel, Dr. Shinya Yamanaka.
Yamanaka mendapati dengan menambah empat protein mengatur gen kepada sel, ia boleh `diprogramkan semula’ untuk kembali ke bentuk lebih muda dan mudah disesuaikan yang dikenali sebagai `sel stem embrionik’.