WASHINGTON: Keluarga seorang angkasawan Amerika Syarikat (AS) yang berdepan ugutan Rusia untuk ditinggalkan di angkasa lepas, menegaskan anak mereka tidak gentar dengan ancaman tersebut.
Mark Vande Hei dijangka pulang dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bersama dua angkasawan Rusia dengan menaiki kapal angkasa Soyuz pada 30 Mac ini.
Namun, ketua agensi angkasa Rusia, Roscosmos, Dmitry Rogozin mengancam untuk meninggalkan angkasawan berusia 55 tahun itu di angkasa lepas.
Malah, Rusia mengancam untuk menjatuhkan ISS ke bumi sebagai tindak balas AS menyokong Ukraine disebabkan pencerobohan Rusia ke atas negara itu.
“Ia merupakan ancaman yang mengerikan, apabila mula-mula mendengarnya, saya menangis terlalu banyak kerana risau dengan keadaan anak saya.
“Kami hanya banyak berdoa agar anak saya selamat,” kata ibu kepada Vande Hei, Mary kepada The Mail.
Vande Hei dijangka kembali ke Kazakhstan selepas 355 hari berada di orbit.
Rogozin memuat naik sebuah video di Twitter yang mengancam untuk meninggalkan Vande Hei di angkasa lepas dan memisahkan bahagian ISS Rusia yang boleh menyebabkannya terhempas ke Bumi.
Ancaman itu dibuat selepas Presiden AS, Joe Biden mengumumkan sekatan terhadap Rusia yang boleh menjejaskan industri aeroangkasa termasuk program angkasa negara itu.
Rogozin bertanya sama ada AS mahu memusnahkan kerjasamanya di ISS.
“Sekiranya anda menyekat kerjasama dengan kami, siapa yang akan menyelamatkan ISS daripada keluar dari orbit dalam keadaan di luar kawalan dan jatuh ke atas AS atau Eropah?,” katanya.