MOSCOW: Rusia mendakwa menggunakan peluru berpandu hipersonik yang canggih Kinzhal buat pertama kali di Ukraine untuk memusnahkan sebuah tempat penyimpanan senjata di barat negara itu.
Peluru berpandu hipersonik bergerak lebih laju berbanding kelajuan bunyi sekali gus menjadikannya sukar untuk dijejaki dan dipintas.
Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, pasukan tenteranya menggunakan teknologi itu untuk menyerang depot senjata bawah tanah di kampung Deliatyn, kira-kira 100 kilometer (km) dari sempadan Ukraine dengan Romania.
Agensi berita RIA Novosti melaporkan senjata hipersonik Kinzhal pertama kali digunakan semasa konflik di Ukraine.
Sebelum ini, Moscow tidak pernah mengaku menggunakan senjata berketepatan tinggi dalam pertempuran.
Sementara itu, Rusia memaklumkan pasukan tenteranya berjaya menembusi benteng pertahanan di pelabuhan selatan Mariupol dan kini sudah berada di dalam bandar yang dilanda perang.
Datuk Bandar Mariupol mengesahkan tentera Ukraine dan Rusia terlibat dalam pertempuran senjata di pusat bandar itu yang diserang tanpa henti. – AFP/AGENSI