LONDON: Sejumlah kumpulan hak asasi manusia mendesak Rusia supaya berhenti menggunakan senjata berangkai dalam peperangan di Ukraine kerana penggunaanya boleh mengheret Moscow ke dalam kancah jenayah perang.
Amnesty International menyatakan, beberapa bom berangkai digunakan untuk membedil sekolah tadika di timur laut Ukraine pada Jumaat lalu, menyebabkan tiga orang awam maut termasuk kanak-kanak.
Sebelum itu, sekolah tadika berkenaan digunakan sebagai pusat perlindungan berikutan peperangan yang tercetus.
Amnesty memaklumkan, serangan itu dipercayai dilancarkan oleh tentera Rusia yang ketika itu berada di lokasi berhampiran tadika berkenaan.
Serangan senjata berangkai itu turut mengenai tujuh lokasi lain berhampiran tadika tersebut.
“Tiada sebab yang kukuh atau logik untuk menggugurkan senjata berangkai di kawasan penempatan, lebih-lebih di sekolah,” kata Setiausaha Agung Amnesty, Agnes Callamard menerusi kenyataan.
Pada 2008, lebih 100 negara menandatangani Persidangan Senjata Berangkai yang mengharamkan pengeluaran serta penggunaannya, namun tidak disertai Rusia dan Ukraine.
Peluru berpandu yang membawa senjata berangkai kebiasaannya meletup di udara dan menyebarkan puluhan atau ratusan bom kecil ke kawasan yang luas.
Selain itu, senjata berangkai juga sering ‘gagal meletup’ menyebabkannya menjadi periuk api yang membahayakan penduduk sekitar.
Dalam pada itu, Human Rights Watch (HWR) menyatakan serangan senjata berangkai tentera Rusia mengenai sebuah hospital di Vuhledar di timur Ukraine, mengorbankan empat penduduk awam dan 10 cedera, termasuk petugas hospital.
“Serangan ini menyebabkan orang awam menjadi mangsa dan kemusnahan infrastruktur yang penting,” ujar Pengarah HRW, Stephen Goose.
Melancarkan serangan melulu sehingga mengorbankan atau mencederakan penduduk awam merupakan satu daripada kesalahan dalam jenayah perang.
Selain itu, laman web siasatan, Bellingcat yang giat mengumpul laporan mengenai penggunaan senjata berangkai di Ukraine memaklumkan bandar kedua terbesar negara itu, Kharkiv juga menjadi sasaran beberapa serangan senjata berangkai.
Menurut laman web itu, sejumlah imej dan video yang dikongsi secara dalam talian menunjukkan senjata berangkai digunakan di kawasan penempatan.
Sementara itu, Kempen Antarabangsa untuk Mengharamkan Periuk Api dan Gabungan Senjata Berkelompok (ICBL-CMC) mengutuk keras penggunaan senjata berangkai dalam peperangan antara Rusia dan Ukraine.
Badan itu turut mendesak supaya penggunaannya dihentikan serta-merta.
“Senjata berangkai paling banyak menyebabkan kematian dan kecederaan dalam kalangan penduduk awam ketika berperang.
“Penggunaannya juga menghalang proses pemulihan dilakukan dalam tempoh segera dan mengambil masa yang lama,” jelas ICBL-CMC.
AMARAN RUSIA
Rusia menerusi Kementerian Luar memberi amaran kepada Barat dan Eropah bahawa mereka perlu bertanggungjawab atas semua akibat yang bakal berlaku selepas beberapa negara berlumba-lumba membekalkan senjata kepada pasukan tentera Ukraine.
“Pastikan anda semua faham tentang akibat dan kesan yang bakal dihadapi selepas ini,” menurut kementerian itu.
Selain itu, kementerian tersebut juga menyelar sekatan yang dikenakan oleh pelbagai pihak dengan menyifatkannya sebagai ‘tidak sah di dibawah undang-undang antarabangsa’ dan berniat untuk ‘memusnahkan Rusia’.
“Rusia akan terus merealisasikan kepentingan negara tanpa mengambil kira sekatan dan ancaman dari Barat serta Eropah.
“Sudah tiba masanya Barat memahami bahawa mereka tidak lagi berkuasa dalam ekonomi global,” tegas kementerian berkenaan. – AFP/AGENSI