WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan mengunjungi Poland pada Jumaat ini bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden Andrzej Duda untuk membincangkan konflik Rusia-Ukraine.
Setiausaha Akhbar di White House, Jen Psaki berkata, Biden akan berbincang bagaimana AS dan sekutu dalam memberi tindak balas terhadap bantuan kemanusiaan yang diberikan kepada Ukraine.
Kunjungan itu dibuat selepas Biden melawat Belgium bagi bertemu dengan pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), G7 dan Kesatuan Eropah (EU).
“Kunjungan Biden adalah untuk menunjukkan sokongan AS terhadap Ukraine menentang Rusia.
“Bagaimanapun, tiada perancangan untuk Biden melawat Ukraine dalam masa terdekat ini,” kata Psaki.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 10 juta penduduk Ukraine meninggalkan kediaman masing-masing susulan peperangan yang berlaku. – AFP