WARSAW: Tindakan Amerika Syarikat (AS) yang kononnya ‘memberi lampu hijau’ kepada Poland untuk membenarkan tentera Ukraine menerbangkan pesawat miliknya tidak mendapat sambutan.
Media Barat melaporkan, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken memaklumkan, Washington mengadakan perbincangan dengan Poland bagi mengatur perjanjian yang membolehkan jet pejuang Poland diterbangkan oleh juruterbang Tentera Udara Ukraine untuk menangkis serangan udara Rusia.
Perjanjian itu menyaksikan Ukraine mengambil alih pesawat perang MiG-29 milik Poland hasil buatan Rusia.
Sebagai timbal balas, AS akan menggantikan satu set pesawat tempur baharu F-16 kepada Poland.
Namun, Washington seolah-olah bertepuk tangan dengan ‘restu’ yang diberinya apabila kerajaan Poland menafikan laporan tersebut, malah menyifatkannya sebagai berita palsu.
Pejabat Perdana Menteri Poland membalas dakwaan tersebut menerusi ciapan Twitter dengan menegaskan pesawat pejuang MiG-29 tidak akan berada di Ukraine.
“Poland tidak akan menghantar jet pejuang ke Ukraine serta membenarkan penggunaan lapangan terbang negara ini.
“Kami boleh membantu Ukraine menerusi banyak perkara dalam bidang lain,” tulisnya.