MEDAN: Sejak minggu lalu, penduduk Indonesia runsing selepas mi segera terkenal di negara ini, iaitu Indomie semakin sukar didapati di kebanyakan kedai runcit dan pasar raya.
Keadaan itu juga meresahkan banyak pasar raya yang terpaksa berdepan pertanyaan pelanggan bilahkan mi segera itu boleh didapati.
Seorang pekerja pasar raya di Medan, Muhammad Nasir memaklumkan, Indomie menjadi pilihan utama rakyat Indonesia berbanding jenama mi segera yang lain.
Katanya, hampir kesemua kedai runcit dan pasar raya di Medan kehabisan stok Indomie, jika ada pun tidak terlalu banyak.
“Kami sudah lama tidak menerima penghantaran stok baharu Indomie sejak beberapa minggu lalu.
“Situasi ini mungkin disebabkan oleh peperangan di Ukraine memandangkan negara itu merupakan pembekal terbesar gandum ke negara ini,” katanya seperti yang dilapor Al-Jazeera.
Bagaimanapun, kesan peperangan itu terhadap bekalan gandum di negara ini masih belum dikenal pasti, biarpun banyak kedai mengadu bekalan Indomie semakin sukar didapati.
Ukraine mengeksport hampir tiga juta tan gandum dan bijirin ke Indonesia pada 2020, sekali gus menjadi pembekal utama kepada negara ini.
Selain Ukraine, Argentina dan Australia turut menjadi pembekal gandum kepada Indonesia.
Pada awal bulan ini, Presiden Joko Widodo (Jokowi) memberi amaran mengenai kenaikan harga makanan global susulan peperangan yang berlaku.
Sehubungan itu, beliau menggesa pasaran tempatan supaya menguruskan harga dengan baik supaya tidak membebankan rakyat.
Sementara itu, Indomie sehingga kini tidak memberi sebarang kenyataan berhubung isu tersebut.
Indomie direkodkan mengeluarkan mi segera sebanyak 19 bilion bungkusan setiap tahun untuk dijual di lebih 100 buah negara.