SYDNEY: Para pengunjung kini berpeluang menikmati hidangan di restoran sambil ‘dimaki’ pelayan yang sememangnya dibayar untuk tujuan tersebut.
Lapor akhbar The Age, pengunjung boleh menikmati suasana itu di rangkaian restoran makanan segera baharu yang ketika ini beroperasi di Australia dan United Kingdom (UK), iaitu Karen’s Diner.
Nama Karen dipilih bersesuaian dengan moto restoran tersebut iaitu ‘Makanan lazat, Perkhidmatan Teruk’.
Hal ini kerana, Karen sering dikaitkan dengan pelanggan wanita pertengahan umur yang selalu tidak berpuas hati atas pelbagai isu, selain gemar memanggil pengurus sesebuah premis untuk ‘mencari pasal’.
Cawangan pertama Karen’s Diner beroperasi di Sydney pada Oktober tahun lalu dan satu lagi cawangan baharu akan dibuka di Brisbane pada April ini.
Ketika berada di Karen’s Diner, pengunjung boleh berpura-pura mencari gaduh dengan pelayan dan pelayan pula memainkan peranan untuk menghidupkan suasana dengan turut serta memarahi pelanggan.
“Di sini, anda boleh mengadu sepuas-puasnya mengenai apa yang anda tidak puas hati, kami tidak akan ambil peduli, namun kami akan menghidangkan makanan yang lazat, itu jaminan kami.
“Jangan terkejut jika anda disapa secara tidak sopan apabila memasuki premis kami, malah ada pelayan yang melemparkan menu atas meja,” menurut kenyataan oleh restoran itu dalam laman webnya.
Restoran itu mula mendapat perhatian ramai, malah ada pengunjung yang pada mulanya benar-benar panas hati dengan sikap pelayannya sebelum menyedari itu semua adalah pura-pura.