WASHINGTON: Seorang lelaki di Maryland yang menjadi lelaki pertama di dunia dalam sejarah perubatan apabila menjalani pembedahan pemindahan jantung babi, dilaporkan meninggal dunia dua bulan selepas itu.
David Bennett, 57, menjalani pembedahan pemindahan organ itu pada 7 Januari lalu, dan disahkan meninggal dunia 8 Mac lalu di University of Maryland.
Jurucakap hospital memberitahu tiada punca jelas dikenal pasti yang menyebabkan kematiannya.
Pengarah Program Xenotransplantasi jantung universiti itu, Muhammad Mohiuddin berkata, Bennett mengalami ‘episod berjangkit’.
“Kami menghadapi kesukaran untuk mengekalkan keseimbangan antara imunosupresi dan mengawal jangkitannya.
“Imunosupresi adalah pengurangan pengaktifan atau keberkesanan sistem imun.
“Keadaan dirinya mula merosot beberapa hari lalu. Selepas jelas dia tidak akan sembuh, Bennett diberikan penjagaan paliatif dan dapat berkomunikasi dengan ahli keluarga semasa detik terakhirnya,” katanya dalam kenyataan.
Januari lalu, pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Maryland menunjukkan kali pertama babi yang diubah suai genetiknya ‘digunakan sebagai penderma organ’.