SAMARINDA: Seorang guru sekolah pondok maut selepas dipukul dua pelajarnya kerana merampas telefon bimbit mereka.
Lapor Tribunnews, kejadian itu berlaku di Samarinda, Kalimantan Timur, baru-baru ini.
Menurut polis, dua pelajar tersebut berusia 15 tahun, manakala mangsa berumur 43 tahun.
“Kejadian itu terbongkar selepas guru tersebut ditemukan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di masjid yang terletak berhampiran sekolah pondok tersebut.
“Penduduk setempat segera membawa guru itu ke hospital bagi mendapatkan rawatan, namun doktor mengesahkan dia meninggal dunia kerana kecederaan parah yang dialaminya,” kata jurucakap polis, Bambang Suheri.
Kemudian, penduduk buat membuat laporan polis dan hasil siasatan, dua pelajar tersebut ditahan.
Ketika disoal siasat, dua pelajar itu mengaku memukul mangsa menggunakan kayu kerana berang telefon bimbit mereka dirampas.
“Kedua-dua suspek itu menceritakan, mereka menunggu mangsa di masjid dan kebetulan di sana ada longgokan kayu, maka mereka menggunakannya untuk memukul guru tersebut.
“Mereka memukul mangsa tepat pada belakang kepalanya dan selepas kejadian itu, dua pelajar berkenaan terus mengambil telefon bimbit yang dirampas,” ujar Bambang.
Kedua-dua pelajar itu memaklumkan, mereka tiada niat untuk membunuh guru tersebut dan hanya mahu mengambil telefon bimbit yang dirampas.
“Kami hanya ingin pengsankan cikgu dan tiada niat untuk membunuhnya. Kami tidak sangka akan jadi begini,” kata seorang daripada suspek.
Sementara itu, kedua-dua pelajar itu akan didakwa di mahkamah juvana atas dakwaan membunuh.