NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperoleh sokongan majoriti besar terhadap resolusi baharu yang menuntut Rusia menghentikan peperangan di Ukraine serta-merta.
Sebanyak 140 negara anggota mengundi untuk menyokong, 38 berkecuali, manakala, lima lagi menentang resolusi yang dibentangkan di ibu pejabat PBB di New York, Khamis lalu.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengutuk ‘perang tidak masuk akal’ Rusia yang menyebabkan ribuan mangsa terbunuh, berjuta-juta menjadi pelarian dan bandar-bandar hancur diserang sejak bulan lalu.
Pengundian itu menyusul selepas kelulusan resolusi serupa 2 Mac lalu, yang menuntut Rusia menghentikan penggunaan kekerasan serta-merta, dengan undian 141 negara menyokong.
Rabu lalu, Ukraine mengemukakan resolusi baharu, yang asalnya disediakan oleh Perancis dan Mexico, pada sesi tergempar Perhimpunan Agung PBB.
Resolusi yang diluluskan itu merujuk Moscow secara khusus serta ‘menuntut permusuhan oleh Persekutuan Rusia terhadap Ukraine dihentikan serta-merta, terutama sebarang serangan ke atas orang awam dan objek awam.’
Lima negara sama mengundi untuk menentang resolusi tersebut dan 2 Mac lalu iaitu Rusia, Syria, Korea Utara, Belarus dan Eritrea.
Perwakilan Amerika Syarikat ke PBB, Linda Thomas-Greenfield, mengalu-alukan ‘majoriti kukuh’ daripada negara anggota yang meluluskan resolusi berkenaan.
“Negara terbabit menunjukkan dengan jelas Rusia bertanggungjawab sepenuhnya atas krisis kemanusiaan dan keganasan yang teruk di Ukraine,” katanya.
Dalam pada itu, Duta Besar Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia menyifatkan resolusi yang diterima pakai kelmarin sebagai ‘draf kemanusiaan palsu’ yang mengambil ‘pandangan berat sebelah’ terhadap situasi itu.
Negara-negara Barat dituduh melakukan kempen ‘tekanan’ yang belum pernah berlaku sebelum ini, semata-mata memenangi undi.-AFP