ANTALYA: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebenarnya dilihat takut untuk berperang dengan Rusia.
Ini terbukti selepas NATO menolak rayuan Ukraine untuk membekalkan bantuan di udara bagi menangkis serangan peluru berpandu dan jet pejuang Rusia.
Kyiv akhirnya kecewa dan mengkritik hebat kebaculan NATO sekali gus memberi lampu hijau kepada Moscow melancarkan serangan.
Ketua NATO, Jens Stoltenberg tetap mencari seribu satu alasan bagi menghalang tindakan lebih agresif negara anggota itu.
Jelasnya, NATO tidak akan membenarkan pencerobohan Rusia di Ukraine menyebabkan tercetusnya konflik terbuka antara negara sekutu lain.
“Larangan zon terbang hanya menyebabkan peperangan skala besar.
“Kami mempunyai tanggunggjawab untuk mengelakkan konflik merentasi sempadan Ukraine sehingga boleh mencetuskan perang besar antara Rusia dan NATO,” katanya semasa temubual di Turki.
Stoltenberg berkata, beliau sedaya upaya mahu mengelakkan lebih banyak penderitaan, kematian dan kemusnahan berlaku.
Beliau menjelaskan zon larangan terbang di Ukraine bermakna NATO perlu melarang sistem pertahanan udara Rusia bukan sahaja di Kyiv, malah melibatkan Belarus dan Rusia.
“Ini bermakna kita perlu bersiap sedia menembak jatuh pesawat Rusia kerana zon larangan terbang bukan bermaksud anda umumkan sahaja, malah perlu melaksanakannya juga,” katanya.
Minggu lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyelar NATO kerana enggan menguatkuasakan peraturan zon larangan terbang di Kyiv.
Sementara itu, Stoltenberg berkata, latihan 10,000 tentera Ukraine bersama ahli anggota NATO sejak beberapa tahun lalu, termasuk pembekalan alatan ketenteraan membuktikan Ukraine adalah sangat penting buat NATO.
Namun, katanya, adalah lebih penting Presiden Rusia, Vladimir Putin menghentikan perang yang tidak masuk akal ini.
“Semua tentera Rusia perlu berundur dan yakin dengan diplomasi politik bagi mencari penyelesaian,” tegasnya.
Beliau turut memuji usaha Turki mengadakan perbincangan Khamis lalu, antara Kementerian Luar Rusia dan Ukraine di Antalya.-AFP