BEIJING: Seorang lelaki di China menghidap saraf pelik iaitu sindrom `air mata buaya’, suatu keadaan perubatan yang menyebabkannya menitiskan air mata setiap kali ketika makan.
Memetik laporan Oddity Central, lelaki dikenali sebagai Mr. Zhang mula menitiskan air mata ketika sedang menikmati makanannya.
Zhang pada mulanya tidak terlalu memikirkan perkara itu.
Namun, gejala tangisan Zhang menjadi semakin buruk apabila dia perlu mengunyah makanan lebih lama.
Sejak itu, Zhang mengelak untuk makan di luar kerana bimbang air matanya akan mengalir di hadapan orang ramai.
Situasi itu secara tidak langsung mengganggu kehidupan sosial Zhang.
Bulan lalu, Zhang didiagnosis dengan sindrom air mata buaya selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Wuhan.
Ketua Jabatan Oftalmologi, Dr. Cheng Mian Chinh menjelaskan bahawa kondisi tersebut berkait rapat dengan kelumpuhan wajah yang dialami oleh Zhang sebelum ini.
“Proses pemulihan dari kelumpuhan wajah mempengaruhi aktiviti kelenjar lakrimal terutamanya pada bahagian mata kirinya.
“Semasa tempoh pemulihan, serat saraf muka menjadi salah arah dan saraf saliva akhirnya mengalir ke kelenjar lakrimal dan bukannya kelenjar submandibular.
“Akibatnya, ia merangsang kelenjar lakrimal untuk menghasilkan air mata,” katanya.
Sementara itu, Zhang dilaporkan menjalani pembedahan dan keadaan kesihatannya kini bertambah baik.