NUSA TENGGARA BARAT: Seorang lelaki yang berasal dari Jember, Jawa Timur sanggup mengayuh basikal sejauh 402 kilometer selama tujuh hari untuk melihat Litar Antarabangsa Mandalika di Lombok Tengah.
Lapor Kompas.com, lelaki yang dikenali sebagai Siswanto, 52 tahun itu juga memberitahu, niatnya ke Mandalika juga disebabkan ingin berjumpa dengan Presiden Joko Widodo (Jokowi).
Katanya, dia teringin untuk menyaksikan perlumbaan MotoGP, namun belum membeli tiket kerana tidak mempunyai wang mencukupi.
“Saya mahu lihat dengan mata sendiri bagaimana rupanya Litar Mandalika dan sudah tentu saya juga teringin untuk menyaksikan perlumbaan.
“Namun, saya tidak mempunyai wang yang mencukupi, tidak mengapa, asalkan saya dapat lihat Mandalika,” katanya.
Lelaki itu menceritakan, dia hanya tidur selama tiga jam sehari sepanjang berbasikal kerana ingin cepat sampai ke destinasi yang dituju.
Siswanto bertolak dari rumahnya pada 9 Mac lalu dan tiba di Pelabuhan Lembar, Lombok Barat pada 15 Mac lepas.
“Sepanjang perjalanan saya, tayar basikal beberapa kali bocor, selain saya juga terjatuh kerana keletihan.
“Selama di Mandalika pula, saya hanya tidur di tepi kedai dan basikal yang saya gunakan adalah peninggalan bapa,” ujarnya.
Siswanto memberitahu, ini bukanlah perjalanan jauh pertamanya menggunakan basikal kerana lelaki itu pernah berkayuh ke Jakarta sebanyak lima kali serta ke Sabang di Aceh dan Kalimantan.
Katanya, dia mula berjinak dengan aktiviti mengayuh basikal sejak 2017 dan bercita-cita untuk mengelilingi Indonesia dengan basikal tersebut.
Jelas Siswanto, selepas perlumbaan MotoGP di Mandalika selesai, dia ingin menyambung perjalanannya ke Papua.