GOMA: Lapan orang terbunuh apabila sebuah helikopter yang dikendalikan oleh misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terhempas di timur Republik Demokratik Congo.
Lapor Al Jazeera, misi yang dikenali sebagai MONUSCO, tidak menyatakan punca nahas di wilayah Kivu Utara.
Menurut jurucakap misi itu, satu siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca nahas tersebut.
Dilaporkan, lapan orang menaiki helikopter Puma termasuk enam anak kapal.
Mangsa terdiri daripada enam warga Pakistan dan masing-masing seorang warga Rusia serta Serbia.
Mayat mereka ditemukan semasa operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan oleh MONUSCO.
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan menzahirkan rasa dukacita yang mendalam dan memberi penghormatan kepada usaha keamanan global oleh angkatan tentera negara itu.
Menurut MONUSCO, helikopter itu sedang menjalankan misi peninjauan di Congo ketika terhempas di kawasan Tshanzu.
Tshanzu merupakan tempat pertempuran antara kumpulan pemberontak M23 dan askar Congo.