LONDON: Kira-kira 200 pelarian Ukraine yang meninggalkan negara akibat pencerobohan Rusia, dijangka tiba di Lincolnshire, England.
Lapor BBC, fasa pertama skim Homes for Ukraine bakal menyaksikan kira-kira 30 pelarian tiba di setiap tujuh daerah di negara ini dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Ia merupakan sebahagian rancangan kerajaan United Kingdom (UK) untuk menawarkan perlindungan kepada pelarian yang meninggalkan negara dilanda perang.
“Lincolnshire sedia mengalu-alukan seramai mungkin pelarian Ukraine dan mampu menawarkan tahap sokongan yang diperlukan oleh mereka,” kata pemimpin Konservatif Majlis Perbandaran Kesteven Utara, Richard Wright.
Data terbaharu kerajaan menunjukkan sebanyak 2,700 visa dikeluarkan kepada pelarian dari negara itu yang mahu datang ke UK.
Jumlah itu merangkumi kira-kira 10 peratus daripada 28,300 permohonan yang dibuat dalam tempoh 15 hari yang pertama.
Di bawah skim itu, setiap isi rumah yang menempatkan pelarian akan ditawarkan 350 pound (RM1,932) sebulan tanpa cukai.