WUZHOU: Kotak hitam milik pesawat China Eastern Airlines yang terhempas pada Isnin lalu ditemukan hari ini.
Jurucakap pihak berkuasa penerbangan China, Liu Lusong berkata, kotak hitam ditemukan dalam keadaan rosak teruk.
Pesawat itu dilengkapi dengan perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR).
“Kami sudah menemukan kotak hitam pesawat berkenaan, tapi tidak dapat dipastikan sama ada ia CVR atau FDR.
“Kami akan mulakan siasatan sebaik sahaja data diperoleh daripada kotak hitam berkenaan,” katanya.
Pihak berkuasa China sehingga kini enggan mengisytiharkan semua penumpang pesawat itu terkorban biarpun media tempatan melaporkan peluang untuk temukan mangsa terselamat sudah tiada.
Sebelum itu, pasukan penyekamat berdepan kesukaran untuk mencari kotak hitam kerana keadaan cuaca tidak menentu, termasuk hujann lebat.
Laman web FlightRadar24 sebelum ini menunjukkan pesawat itu menurun mendadak daripada altitud 29,100 kaki kepada 7,850 kaki dalam tempoh seminit.
Kemudian, pesawat itu menurun lagi kepada ketiggian 3,225 kaki sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan. – AFP