Kereta terpanjang dunia pecah rekod sendiri - Utusan Malaysia

Kereta terpanjang dunia pecah rekod sendiri

AMERICAN Dreams keluaran tahun 1986 kini berukuran 30.48 meter. – GUINNESS WORLD RECORDS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Sebuah limosin yang dinamakan sebagai kereta terpanjang di dunia, sekali lagi mendapat pengiktirafan Rekod Dunia Guinness selepas dibaik pulih dan diubah suai.

Digelar sebagai American Dreams, limosin keluaran tahun 1986 itu kini berukuran 30.48 meter, sekali gus memecahkan rekod sendiri yang dicatatkan sebelum ini.

Lapor Daily Mail, limosin yang dibina di Burbank, California oleh penyesuai kereta, Jay Ohrberg pada asalnya hanya berukuran 18.29 meter dan mempunyai dua enjin V8 di bahagian depan serta belakang kenderaan itu.

Ohrberg kemudian mengubahsuai limosin berkenaan sehingga berukuran 30.48 meter untuk meraih gelaran tersebut.

American Dream kini dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk jakuzi, padang golf mini, kolam renang serta helipad.

Malah, limosin yang mempunyai 26 roda itu, boleh dipandu dari kedua-dua hujung dan mampu memuatkan hampir 75 orang di dalam kenderaan tersebut.

Sebelum ini, kenderaan itu disewakan untuk dipaparkan dalam beberapa filem dan disimpan di sebuah gudang di New Jersey.

Limosin itu pernah disenaraikan di platform e-dagang global, eBay yang mana ia bertukar tangan sebanyak dua kali namun akhirnya dibeli oleh Michael Dezer pada jumlah yang tidak didedahkan.

Dezer kemudian merekrut pemilik muzium pengajaran teknikal Autoseum di New York, Micheal Manning untuk membantu membaik pulih dan mengubahsuai limosin tersebut.

Projek itu menelan perbelanjaan lebih AS$250,000 (RM1.04 juta) termasuk kos penghantaran, bahan dan upah pekerja serta mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya