BLITAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas dihempap tangki air yang runtuh ketika mengambil wuduk di sebuah masjid, di sini kelmarin.
Lapor Kompas.com, kejadian itu berlaku di Masjid Riyatus Shohibin, Desa Sawentar, Blitar ketika mangsa ingin menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Jurucakap polis Blitar, Udiono berkata, kanak-kanak itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepalanya.
“Tangki air berserta dinding penahan tiba-tiba runtuh ketika mangsa mengambil wuduk.
“Pengurus masjid memaklumkan, tiada sebarang keretakan pada struktur dinding atau tangki air tersebut sebelum kejadian berlaku,” katanya.
Jelas Udiono, tangki air itu mungkin tidak dapat menampung bebanan sehingga menyebabkannya runtuh dan pecah.
Katanya, struktur dinding penahan tangki itu juga runtuh sepenuhnya.
“Seorang lagi rakan mangsa turut cedera dalam insiden itu, namun tidak serius,” ujarnya.
Sementara itu, ibu bapa mangsa menjelaskan mereka tidak akan meminta ganti rugi atau mendesak pengurusan masjid bertanggungjawab terhadap insiden yang berlaku.
Hal ini kerana, mereka reda dengan kematian anak mereka, selain enggan membenarkan bedah siasat dilakukan terhadap jenazah mangsa.