KABUL: Penduduk Afghanistan sanggup menjual buah pinggang sendiri akibat dibelenggu masalah hutang, pengangguran dan kekurangan sumber makanan.
Aktiviti itu sudah tersebar di bandar Herat yang terletak di barat Afghanistan sehingga sebuah perkampungan di kawasan itu digelar sebagai ‘kampung satu buah pinggang’.
Seorang penduduk, Nooruddin berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain dan melakukannya demi kelangsungan hidup anak-anaknya.
Katanya, dia menjual organ dalaman dirinya bagi tempoh jangka masa pendek.
“Saya berasa menyesal sekarang kerana tidak boleh bekerja lagi.
“Saya terasa sakit dan tidak mampu mengangkat benda berat,” luahnya ketika ditemui wartawan AFP di rumahnya.
Nooruddin sekeluarga sangat memerlukan sumber kewangan sehingga anak lelakinya berusia 12 tahun terpaksa mengambil upah membersihkan kasut dengan upah 70 sen sehari.
Lelaki itu merupakan antara lapan individu yang ditemui wartawan AFP yang sanggup menjual buah pinggang dengan bayaran AS$1,500 (RM6,283).
Bekas pakar bedah terkenal di sebuah hospital di bandar Mazar-i-Sharif, Mohammad Wakil Matin berkata, tiada undang-undang yang mengawal penjualan organ manusia dalam kalangan penduduk di negara itu.
Bagi Mohamad Bassir Osmani yang merupakan pakar bedah di hospital Herat yang menjalankan pembedahan pemindahan organ, ‘persetujuan’ individu adalah penting.
Katanya, ratusan pembedahan berjaya dilaksanakan di Herat sejak lima tahun lalu.
“Kami mengambil persetujuan bertulis dan rakaman video daripada setiap penderma organ.
“Kami tidak pernah menyiasat dari mana pesakit atau penderma berasal, kerana itu bukan tugas kami,” katanya.
Mohamad Bassir berkata, pemerintah Taliban mempunyai perancangan untuk membendung pemerdagangan organ dan membentuk jawatankuasa untuk mengawal selia perkara itu.
Penduduk Afghanistan yang terdesak mendapatkan wang akan dipadankan dengan pesakit kaya dari India dan Pakistan yang sanggup datang ke Herat.
Dalam pada itu, akibat dua daripada tiga anak-anak Azyta kekurangan zat makanan, wanita itu nekad menjual buah pinggangnya.
“Saya jual buah pinggang dengan harga AS$2,700 (RM11,309).
“Saya terpaksa melakukannya kerana suami tidak bekerja dan kami mempunyai hutang yang perlu dibayar,” ujarnya.
Disebabkan itu, suami Azyta turut bercadang melakukan perkara sama bagi mendapatkan duit.
Katanya, orang ramai menjadi semakin miskin sehingga menyebabkan mereka sanggup menggadai nyawa akibat keterdesakan hidup.