MONTREAL: Seorang lelaki yang bersenjatakan kapak dan semburan yang digunakan untuk menghalau beruang dilaporkan menyerang jemaah di sebuah masjid di Kanada kelmarin.
Namun, insiden itu tidak menyebabkan kecederaan parah pada jemaah.
Menurut polis, suspek berusia 24 tahun itu memasuki masjid di pekan Mississauga di pinggir Toronto dan terus menyembur jemaah sebelum dia dihalang pengunjung di masjid berkenaan.
Polis kemudiannya tiba dan menahan suspek dengan beberapa jemaah dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat terkena semburan terbabit.
Penyembur beruang boleh menyebabkan penglihatan menjadi terhad dan kesukaran bernafas,
Polis menerusi satu kenyataan memaklumkan, insiden itu disifatkan sebagai kes terpencil dan bermotifkan jenayah kebencian.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menerusi Twitter mengutuk serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘amat mengganggu’.
“Semua tindakan keganasan tidak akan pernah mendapat tempat di Kanada dan serangan yang berlaku adalag sangat tidak wajar,” katanya.
Beberapa pemimpin lain turut menyelar serangan itu termasuk Datuk Bandar Toronto dan Ketua Menteri Ontario.
Selain itu, imam masjid tersebut, Ibrahim Hindy memuji keberanian jemaah menumpaskan suspek.
“Komuniti Islam tidak akan pernah menjadi lemah dan kami tidak mahu ditakut-takutkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,’ ujarnya.
Pada Jun tahun lalu di Ontario, seorang lelaki sengaja melanggar lari satu keluarga yang berasal dari Pakistan.
Insiden itu menyebabkan empat terbunuh dan polis mengklasifikasikannya sebagai kes Islamofobia. – AFP