ARBIL: Iran mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan peluru berpandu terhadap bandar Arbil di utara Iraq kelmarin.
Iran menyatakan serangan itu menyasarkan ‘pusat strategik Israel’ dan memberi amaran lebih banyak serangan mungkin akan dilancarkan selepas ini.
Pihak berkuasa Kurdish menegaskan Israel tidak mempunyai sebarang ‘pusat kemudahan’ di Arbil yang merupakan ibu kota autonomi mereka.
Di Baghdad, Kementerian Luar mengutuk serangan itu sebagai ‘mencabuli kedaulatan Iraq’.
Sehubungan itu, Iraq memanggil Duta Iran ke negara itu, Iraj Masjidi untuk membantah serangan tersebut yang dilaporkan menyebabkan kerosakan struktur dan rumah penduduk.
Menurut pihak berkuasa Iraq, sebanyak 12 peluru berpandu balistik dilancarkan ke Arbil dalam serangan rentas sempadan sebelum subuh yang menyebabkan dua orang awam cedera.
Pengawal Revolusi Iran (IRGC) yang mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu menyatakan, mereka menyasarkan kemudahan yang digunakan Israel.
“Kor IRGC menyasarkan peluru berpandu yang kuat terhadap pusat strategik Zionis,” jelas pasukan itu dalam kenyataan.
Israel tidak memberi tindak balas berhubung serangan itu dan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Ned Price memaklumkan tiada kemudahan AS rosak atau petugasnya cedera dalam serangan tersebut.
Serangan peluru berpandu itu berlaku hampir seminggu selepas IRGC berikrar untuk membalas dendam berhubung kematian dua anggota mereka dalam serangan roket di Syria yang dilancarkan Israel. – AFP