WASHINGTON: Seorang lelaki di Maryland yang menjadi lelaki pertama di dunia dalam sejarah perubatan apabila menjalani pembedahan pemindahan jantung babi, dilaporkan meninggal dunia dua bulan selepas itu.
David Bennett, 57, menjalani pembedahan pemindahan organ itu pada 7 Januari lalu, dan disahkan meninggal dunia 8 Mac lalu di University of Maryland.
Jurucakap hospital memberitahu tiada punca jelas dikenal pasti yang menyebabkan kematiannya.
Pengarah Program Xenotransplantasi jantung universiti itu, Muhammad Mohiuddin berkata, Bennett mengalami ‘episod berjangkit’.
“Kami menghadapi kesukaran untuk mengekalkan keseimbangan antara imunosupresi dan mengawal jangkitannya.
“Imunosupresi adalah pengurangan pengaktifan atau keberkesanan sistem imun.
“Keadaan dirinya mula merosot beberapa hari lalu. Selepas jelas dia tidak akan sembuh, Bennett diberikan penjagaan paliatif dan dapat berkomunikasi dengan ahli keluarga semasa detik terakhirnya,” katanya dalam kenyataan.
Januari lalu, pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Maryland menunjukkan kali pertama babi yang diubah suai genetiknya ‘digunakan sebagai penderma organ’.
Dalam pembedahan selama sembilan jam itu, doktor menggantikan jantungnya dengan jantung daripada babi berusia satu tahun.
Bennett bernafas sendiri tanpa ventilator, walaupun dia masih menggunakan mesin ECMO yang melakukan kira-kira separuh tugas mengepam darah ke seluruh badannya.
Sebelum itu, pesakit itu hanya terbaring di atas katil dan diletakkan dengan mesin bantuan hayat kecemasan.
Dia dianggap sudah tidak layak menerima organ menerusi pembedahan pemindahan tersebut.
Keputusan tersebut sering diambil apabila penerima mempunyai kesihatan asas yang sangat teruk.
Para saintis telah menjalankan kajian selama beberapa dekad untuk memikirkan cara menyelamatkan nyawa manusia dengan organ haiwan.
Pakar akhirnya mendapati babi mempunyai organ yang serupa dengan manusia.
Lebih daripada 100,000 orang duduk dalam senarai menunggu pemindahan organ, mengalami gejala dan kesan sampingan yang teruk.
Kira-kira 6,000 daripada mereka mati setiap tahun menunggu orang lain untuk memberikan mereka buah pinggang, jantung atau paru-paru. – AFP