MEKAH: Aktiviti iktikaf kembali dibenarkan di Masjidilharam dan Masjid Nabawi sepanjang bulan Ramadan tahun ini, iaitu kali pertama selepas dihentikan buat sementara susulan pandemik Covid-19.
Lapor Saudi Gazette, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Syeikh Abdul Rahman Al-Sudais dan beliau memaklumkan, permit untuk melakukan aktiviti itu akan mula dikeluarkan dalam laman web rasmi tidak lama lagi.
Katanya, walaupun sudah dibenarkan, pengunjung masih perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengawal penularan Covid-19.
“Iktikaf merupakan aktiviti duduk di masjid untuk bermunajat kepada Allah SWT dan rutin itu dihentikan pada Ramadan 2020 berikutan penularan Covid-19.
“Arahan itu diteruskan sepanjang Ramadan 2021 sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan koronavirus.
“Pada tahun ini, kita sekali lagi berpeluang melakukan iktikaf, namun pada masa yang sama semua pengunjung perlu menerapkan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan keadaan terkawal,” kata Abdul Rahman.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya 100,000 jemaah beriktikaf di dua masjid tersebut sepanjang 10 hari terakhir Ramadan.
Pada 2019, Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci memperuntukkan ruang bumbung masjid untuk iktikaf dengan rak dan peti menyimpan barang berasingan.
Setiap jemaah diberikan lokar sendiri berserta kunci untuk membolehkan mereka menyimpan barangan termasuk sejadah, bantal, dan pakaian ihram.