JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi menegaskan pembangunan ibu kota negara Nusantara di Kalimantan Timur adalah sebahagian usaha untuk menyeimbangkan ekonomi negara.
Justeru, pemimpin itu berkata, pelbagai kajian berhubung pemindahan IKN yang dilakukan sebelum ini harus dilaksanakan dengan segera.
“Jika kita tidak melakukan kajian ini maka ia tidak akan berlaku.
“Ya, saya mengakui ada risiko namun kita juga mahukan ekonomi yang seimbang secara menyeluruh dan bukan hanya tertumpu pada Jawa,” katanya sepertimana dilaporkan CNN Indonesia.
Menurut Jokowi, ketika ini, sebanyak 58 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ekonomi Indonesia tertumpu di pulau Jawa.
Indonesia mempunyai kira-kira 17,000 pulau dari Sabang hingga Merauke.
Oleh itu, keseimbangan ekonomi diperlukan menerusi pemindahan IKN dan bukannya sekadar memindahkan bangunan dari Jakarta ke Nusantara.
Sementara itu, Jokowi memaklumkan pemindahan IKN juga bertujuan menyeimbangkan populasi penduduk.
Katanya, setakat ini, sebanyak 56 peratus penduduk Indonesia berada di pulau Jawa.