BEIJING: Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Vladimir Putin mengadakan pertemuan sebagai tanda persahabatan ‘tanpa batas’ antara kedua-dua negara pada bulan lalu.
Namun, sebulan kemudian, hubungan kedua-dua negara diuji apabila Rusia menyerang Ukraine.
Kebanyakan negara di seluruh dunia, terutamanya Eropah dan Barat saling berlumba-lumba mengenakan sekatan terhadap Rusia.
Namun, Beijing dilihat bertungkus-lumus mengelak mengambil pendekatan yang sama bagi memelihara hubungan baik yang wujud sebelum ini.
Disebabkan keadaan itu, China kini berada ‘di persimpangan’ iaitu mahu mengekalkan hubungan baik dengan Rusia dan pada masa yang sama dihimpit desakan daripada pelbagai pihak supaya mengecam Rusia.
Beijing dikatakan enggan ‘mencetuskan kemarahan Moscow’ dan disebabkan itu, China lebih selesa untuk bersikap berkecuali.
China juga berterusan menyokong Rusia apabila menegaskan kebimbangan Moscow mengenai Ukraine dan rancangan penyertaan negara itu dalam pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) adalah ‘sah di sisi undang-undang’.
Beijing juga enggan menggelar tindakan Rusia di Ukraine sebagai peperangan, sebaliknya melabelkan situasi itu sebagai pencerobohan.
Namun, sikap berkecuali China itu dikatakan boleh mengheret negara ini ke arah kehancuran. – AFP