WASHINGTON: Sebuah kapal kontena mega yang dimiliki oleh syarikat kapal yang tersekat di Terusan Suez pada tahun lalu dilaporkan terkandas berhampiran pelabuhan di Baltimore.
Kapal Ever Forward sempanjang 334 meter itu terkandas di Teluk Chesapeake tidak lama selepas meninggalkan pelabuhan di Baltimore pada Ahad lalu.
Menurut Pengarah Eksekutif Pentadbiran Pelabuhan Maryland, william Doyle dalam satu kenyataan, tiada kecederaan melibatkan anak kapal mahupun tumpahan minyak berlaku setakat ini.
“Walaupun Ever Forward terkandas, ia tidak menghalang laluan keluar dan masuk ke pelabuhan tersebut.
“Ketika ini, pihak berkuasa cuba ‘membebaskan’ kapal tersebut sejak Ahad lalu,” katanya.
Insiden itu berlaku hampir setahun selepas kapal kontena MV Ever Given tersekat di Terusan Suez ketika ribut pasir dan kejadian tersebut menyebabkan terusan berkenaan terhalang selama enam hari.
Terusan Suez merupakan laluan perdagangan utama dari Asia ke Eropah yang membawa 10 peratus barang dagangan global, selain menjadi antara penyumbang ekonomi utama Mesir.
Kedua-dua kapal kontena itu dimiliki oleh Evergreen Marine Corp yang berpangkalan di Taiwan.
Kapal Ever Forward itu dalam perjalanan ke Norfolk, Virginia apabila ia terkandas. – AFP