WASHINGTON: Facebook memaklumkan pihaknya akan melonggarkan peraturan mengenai ucapan kebencian selepas mendakwa pencerobohan Rusia di Ukraine semakin membimbangkan.
Facebook bakal membenarkan penggunanya membuat kenyataan yang ‘menggalakkan tentera dan pemimpin Rusia termasuk Vladimir Putin mati akibat serangan yang dilakukan’.
Namun, kenyataan seperti itu tidak dibenarkan dilakukan terhadap orang awam.
“Susulan daripada pencerobohan Rusia di Ukraine, Facebook buat sementara waktu akan membenarkan pengguna menzahirkan ekspresi marah, mengutuk dan mengkritik Rusia, termasuk ‘mendoakan kematian mereka’.
“Bagaimanapun, kenyataan berbentuk ancaman yang berbahaya tidak boleh dilakukan terhadap orang awam,’ kata syarikat induk Facebook, Meta dalam kenyataan.
Kebenaran itu akan diberikan kepada pengguna Facebook di Armenia, Azerbaijan, Estonia, Georgia, Hungary, Latvia, Lithuania, Poland, Romania, Rusia, Slovakia dan Ukraine.
Facebook dan beberapa syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) yang lain mengenakan tindakan menggantung media Rusia kerana peperangan yang tercetus dan sebagai tindak balas, Rusia turut menyekat akses kepada media sosial termasuk Twitter.
Situasi itu menjadikan Rusia menyertai China dan Korea Utara yang menyekat rangkaian media sosial dari AS.
Selain itu, Rusia turut mengambil langkah tegas dengan memperkenalkan undang-undang media yang menyaksikan mana-mana organisasi media yang melaporkan berita atau sumber palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Langkah itu menyaksikan banyak media Barat menghentikan atau menggantung sementara operasi mereka di Rusia dengan alasan bimbang keselamatan para petugas. – AFP