CALIFORNIA: Pemilik kapal angkasa SpaceX, Elon Musk dilaporkan menimang cahaya mata kedua dan menamakannya dengan Exa Dark Siderael Musk.
Walaupun nama anaknya itu mempunyai empat perkataan, namun, Musk hanya memanggilnya sebagai Y.
Katanya, dia mendapat ilham nama tersebut semasa berada di ruangan gelap penerokaan angkasa lepas sebelum ini.
Gabungan nama itu merujuk kepada istilah angkasa lepas dan teknologi.
Exa merujuk kepada superkomputer, Sidereal bermaksud bintang yang jauh, dan Dark bererti gelap dan tidak diketahui.
Bilionair itu berkata, angkasa lepas yang gelap adalah misteri indah buat alam semesta kita.
Musk dan isterinya, Grimes yang merupakan artis Kanada dikurniakan cahaya mata pertama pada Mei 2020.
Semasa wawancara dengan Vanity Fair, Grimes berkata, anak keduanya lahir Disember lalu.
Musk dikenali dengan sentiasa membuat kenyataan penuh kontroversi apabila mendakwa ‘semua spesies di muka bumi akan pupus 100 peratus’ melainkan manusia berhijrah ke planet lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu sentiasa menanam cita-cita tinggi untuk menjadikan kehidupan manusia ‘berbilang planet’ dengan membuktikan perkara itu menerusi projek angkasa lepasnya, SpaceX.
“Wujud peluang 100 peratus semua spesies akan mengalami kepupusan akibat matahari semakin berkembang, melainkan manusia menjalani kehidupan di planet lain,” ciapnya dalam Twitter.