HONG KONG: Cathay Pacific merancang melakukan penerbangan komersial terpanjang di dunia dengan mengubah laluan New York ke Hong Kong dengan melalui Atlantik dan bukannya Pasifik.
Laluan baharu itu dilihat mengelak ruang udara Rusia.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan memaklumkan, laluan penerbangan itu akan meliputi 16,668 kilometer (km) yang mengambil masa 16 hingga 17 jam.
“Ia akan melepasi penerbangan Singapore Airlines dalam perjalanan dari bandar Asia Tenggara ke New York yang terbang kira-kira 15,343 km dalam masa 18 jam,” jelas kenyataan itu.
Memetik laporan Bloomberg, Cathay enggan memberi maklum balas mengenai tindakan mengubah laluan penerbangannya.
Banyak syarikat penerbangan membatalkan laluan penerbangan ke bandar Rusia atau mengelak ruang udara negara itu berikutan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada bulan lalu.
Bulan lalu, Rusia juga menutup ruang udara kepada semua penerbangan United Kingdom (UK) dan beberapa negara Eropah sebagai tindak balas atas sekatan yang dikenakan ke atasnya.
Cathay ketika ini sedang berusaha mendapatkan permit penerbangan bagi perjalanan merentasi Atlantik, Eropah dan Asia Tengah.
Menurut syarikat itu, penggunaan laluan trans-Atlantik adalah lebih baik berbanding trans-Pasifik disebabkan `angin bermusim kuat pada masa ini’. – AFP