WASHINGTON: Peruntukan belanjawan Pentagon tahun fiskal 2023 yang dicadangkan oleh Presiden Joe Biden merangkumi perbelanjaan sebanyak AS$813 bilion (RM3.42 trilion) untuk pertahanan negara.
Lapor CNN, belanjawan itu turut membabitkan peningkatan empat peratus iaitu sebanyak AS$31 bilion (RM130.7 bilion) daripada pakej perbelanjaan yang menjadi undang-undang, awal bulan ini.
Bajet pertahanan pentadbiran Biden dilihat kekal tertumpu pada China sebagai cabaran strategik utama, dengan penekanan untuk mengukuhkan keselamatan Eropah berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
“Jika anda menilai secara menyeluruh pada keupayaan dan ekonomi mereka, China kekal sebagai ancaman strategik yang paling mencabar.
“Itulah yang dikatakan strategi, itulah belanjawan,” kata seorang pegawai kanan pertahanan kepada pemberita sebelum mendedahkan laporan belanjawan tersebut.
Cadangan belanjawan yang dikemukakan Biden termasuk peruntukan khas sebanyak AS$773 bilion (RM3.2 trilion) bagi sektor pertahanan untuk tahun depan.
Parti Republikan menempelak dengan menyifatkan belanjawan Pentagon itu tidak mencukupi untuk tentera AS berdepan serangan Rusia di Ukraine dan pelaburan ketenteraan China.
Berdasarkan dokumen Jabatan Pertahanan AS, belanjawan pertahanan pentadbiran Biden mengesan ancaman dari Rusia walaupun cadangan bajet itu dibentuk sebelum insiden pencerobohan Rusia ke
atas Ukraine bulan lalu.