BRUSSELS: Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom berusaha untuk menambah sekatan terhadap Rusia, sedangkan Kesatuan Eropah (EU) pula dilihat berbelah-bahagi disebabkan kebergantungan terhadap bekalan gas Rusia.
Lapor Reuters, EU bertelagah mengenai isu memutuskan hubungan tenaga dengan Rusia, apabila Jerman bertindak sebagai penentang utama.
Seorang pegawai AS berkata, Washington dan sekutunya berusaha menyediakan Kyiv peluru berpandu anti-kapal.
Britain pula mahu mengenakan sekatan lebih banyak terhadap pemberi pinjaman dari Rusia, manakala AS menyasarkan puluhan syarikat pertahanan Rusia.
Bercakap kepada 27 negara anggota EU, Perdana Menteri Latvia, Arturs Karin menuntut larangan import bekalan tenaga Rusia dilaksanakan.
“Sekatan tenaga adalah satu cara menghentikan wang daripada mengalir ke dalam tabung perang Rusia.
“Tempat paling logik untuk mengenakan sekatan adalah sumber minyak dan arang batu. Kita mesti hentikan tindakan Putin segera,” katanya.
Khamis lalu, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menawarkan bantuan ketenteraan baharu kepada Kyiv dan menugaskan lebih ramai tentera ke sayap timur.
Pemimpin NATO, G7 dan EU yang bermesyuarat di Brussels bagaimanapun gagal memenuhi rayuan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky untuk meningkatkan bantuan ketenteraan dan sekatan lebih ketat terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Dalam perkembangan sama, Estonia memilih untuk menyasarkan sumber minyak dan gas bagi menghalang Rusia menjana keuntungan dari jualan sumber tersebut disalurkan kepada dana peperangan.
Bagaimanapun, blok itu tidak mendapat sokongan sebulat suara bagi mengenakan sekatan selanjutnya.
Perdana Menteri Luxembourg berkata, blok itu perlu memastikan beberapa pilihan terbuka sekiranya krisis bertambah buruk.
Rakan sejawatan dari Belanda pula memaklumkan tiada sekatan baharu akan dipersetujui, Khamis lalu.
EU hanya mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga Rusia dengan sangat perlahan dan industri itu sebahagian besarnya dikecualikan daripada sekatan, sekali gus menyaksikan kelemahan terbesar untuk membekukan ekonomi Rusia daripada perdagangan dunia.
Semasa sidang kemuncak itu, pemimpin EU juga bersetuju untuk membeli gas dan mendapatkan tambahan bekalan gas asli cecair milik AS.