AS umpama galak negara lain sertai konflik Rusia-Ukraine

AS umpama galak negara lain sertai konflik Rusia-Ukraine

SEORANG wanita dibantu oleh tentera Ukraine semasa menyeberangi jambatan yang musnah dibedil untuk melarikan diri ke bandar Irpin, barat laut Kyiv. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Amerika Syarikat (AS) yang kononnya mengetuai negara Barat dalam memperjuangkan demokrasi dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Rusia di Ukraine sebenarnya ‘memainkan peranan lebih daripada itu’.

Selain menggunakan kuasa besarnya untuk memujuk banyak negara mengenakan sekatan terhadap Rusia, AS dalam masa yang sama juga mungkin mahu melanjutkan peperangan di Ukraine.

Hal ini dapat dilihat apabila AS dilaporkan sudah memberikan ‘lampu hijau’ kepada Poland untuk menghantar jet pejuang ke Ukraine bagi membantu negara itu menghadapi tentera Rusia.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, Washington mengadakan perbincangan dengan Poland bagi mengatur perjanjian yang membolehkan jet pejuang Poland diterbangkan oleh juruterbang Tentera Udara Ukraine untuk menangkis serangan udara Rusia. 

Perjanjian itu menyaksikan Ukraine mengambil alih pesawat perang MiG-29 milik Poland hasil buatan Rusia. 

Sebagai timbal balas, AS akan menggantikan satu set pesawat tempur baharu F-16 kepada Poland. 

 

BERITA PALSU 

Namun, Washington seolah-olah bertepuk tangan dengan ‘restu’ yang diberinya apabila kerajaan Poland menafikan laporan tersebut, malah menyifatkannya sebagai berita palsu.

Pejabat Perdana Menteri Poland membalas dakwaan tersebut menerusi ciapan Twitter dengan menegaskan pesawat pejuang MiG-29 tidak akan berada di Ukraine. 

“Poland tidak akan menghantar jet pejuang ke Ukraine serta membenarkan penggunaan lapangan terbang negara ini. 

“Kami boleh membantu Ukraine menerusi banyak perkara dalam bidang lain,” tulisnya. 

Justeru, timbul persoalan kenapa AS sendiri yang tidak menghantar jet pejuang miliknya bagi membantu Ukraine? 

Tindakan tersebut hanya menggambarkan betapa baculnya AS terhadap Rusia sehingga terpaksa menjadi batu api dalam konflik Ukraine. 

 

AMARAN PUTIN 

Baru-baru ini, Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran penguatkuasaan zon larangan terbang di Ukraine akan menjadikan negara-negara ahli  Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara

(NATO) terlibat dalam konflik peperangan tersebut. 

Amaran keras itu dikeluarkan selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, mengecam NATO kerana menolak untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara negaranya.

“Kami akan menganggap mereka sebagai terlibat dalam konflik ini, tidak kira sama ada negara-negara itu merupakan ahli dalam mana-mana perikatan.

“Ia berkemungkinan boleh dilakukan ke atas mana-mana negara berdekatan (Ukraine). Sebarang gerakan untuk campur tangan akan dianggap sebagai melibatkan diri dalam konflik bersenjata ini,” kata Putin.

 

AMARAN BUAT ROMANIA

Kementerian Pertahanan Rusia turut memberi amaran kepada negara jirannya, Romania yang merupakan negara anggota NATO agar tidak menawarkan tempat untuk pesawat tentera Kyiv. 

Jika tidak, mereka mungkin menerima nasib yang sama seperti Ukraine.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Romania, Nicolae Ciuca, membalas amaran itu dengan menyifatkannya sebagai retorik semata-mata.

Tegasnya, Moscow mungkin boleh menakut-nakutkan Romania, namun menegaskan pihaknya tidak rasa terancam dengan amaran itu.

“Ia hanyalah retorik yang bertujuan mengalihkan perhatian daripada apa yang berlaku di Ukraine, apabila orang awam dibunuh dan peraturan konflik bersenjata diketepikan,” katanya. 

 

PERKEMBANGAN KONFLIK  

Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh melibatkan seorang wanita bersama dua anaknya, apabila terkena letupan mortar ketika penduduk melarikan diri ke bandar Irpin berdekatan Kyiv. 

Krisis kemanusiaan di Ukraine bertambah buruk selepas cubaan penduduk melarikan diri dari bandar pelabuhan Mariupol gagal dilaksanakan buat hari kedua berturut-turut dan proses pemindahan itu dilakukan semula semalam selepas Rusia bersetuju menghentikan serangan. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya