LONDON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyifatkan Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai ‘penjenayah perang’ kerana menceroboh Ukraine, selain menegaskan pemimpin itu tidak layak dimaafkan oleh dunia.
Namun, Kremlin segera menyangkal tuduhan Biden dengan menyatakan Putin sentiasa tahu dan sedar tentang semua tindakan yang dilakukannya untuk Rusia.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, kenyataan yang dibuat oleh Biden tidak dapat diterima dan tidak boleh dimaafkan.
“Realitinya, AS yang paling banyak menyerang dan melancarkan bom terhadap masyarakat yang tidak berdosa.
“Jadi, presiden negara itu tidak mempunyai hak untuk melabelkan apa yang dilakukan Rusia ketika ini sebagai jenayah, salah laku atau apa sahaja yang berkaitan,” tegas Peskov.
Rusia juga memberi amaran kepada AS bahawa negara itu mempunyai kuasa untuk ‘menggantikan AS sebagai kuasa besar dunia’, selain menuduh Barat menyebarkan propaganda untuk menjejaskan Rusia.
“Semua usaha Barat untuk takutkan dunia tentang Rusia tidak akan berjaya kerana negara ini mampu mengalahkan musuhnya sekelip mata,” kata bekas Presiden Rusia, Dmitry Medevedev. – REUTERS