WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meluluskan suntikan dos keempat vaksin Covid-19 bagi individu berusia 50 tahun ke atas di negara itu.
Pemberian dos keempat itu sama ada melibatkan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech atau Moderna.
Keputusan itu dibuat ketika pihak berkuasa memberi amaran mengenai kemungkinan gelombang baharu jangkitan Covid-19 yang didorong oleh varian BA.2.
Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) menerusi kenyataan memaklumkan keputusan itu dilakukan setelah mengambil kira bukti menunjukkan dos penggalak tambahan mampu meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan Covid-19 yang teruk.
Selain itu, jelasnya, individu mengalami masalah imun yang sudah menerima empat suntikan, sekurang-kurangnya empat bulan lalu, kini layak menerima dos kelima.
Ia termasuk individu yang hidup dengan pemindahan organ tertentu.
Vaksin Pfizer akan diberikan kepada individu berusia 12 tahun ke atas yang mempunyai masalah imun manakala vaksin Moderna pula kepada mereka berumur 18 tahun ke atas. – AFP