MOSCOW: Konflik serangan di Ukraine yang berlanjutan lebih dua minggu, memasuki babak baharu apabila Rusia dilaporkan meminta bantuan ketenteraan dan ekonomi dari China.
Media Amerika Syarikat (AS) melaporkan, perkembangan itu berlaku beberapa jam selepas White House memberi amaran kepada Beijing akan berhadapan ‘akibat teruk’ jika membantu Moscow mengelak sekatan.
Pegawai AS memberitahu, Rusia difahamkan meminta peralatan ketenteraan dan sokongan daripada sekutu utamanya.
New York Times melaporkan, Moscow dilihat terdesak meminta bantuan Beijing selepas negara Barat mengenakan pelbagai sekatan yang melumpuhkan ekonomi negara itu.
Laporan itu bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai jenis bantuan yang diminta Rusia serta sama ada China sudah memberikan maklum balas atau sebaliknya.
Jurucakap Kedutaan China di Washington berkata, beliau tidak pernah mendengar mengenai permintaan seperti yang didakwa itu.
Laporan itu tersebar selepas beberapa jam White House mengumumkan delegasi tertinggi AS akan bertemu dengan pegawai tertinggi China di Rom, semalam.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, Emily Horne berkata, Washington dan Beijing akan mengadakan perbincangan secara berterusan bagi menguruskan persaingan antara kedua-dua negara.
Katanya, perbincangan juga melibatkan kesan perang Rusia di Ukraine terhadap keselamatan serantau dan global.
“Ia adalah kebimbangan kami dan China sudah dimaklumkan bahawa kami tidak akan berdiam diri atau membenarkan mana-mana negara membayar pampasan kepada Rusia atau kerugian akibat sekatan ekonomi,” ujar Horne.
AS diwakili oleh Penasihat Keselamatan Negara, Jake Sullivan manakala, China diwakili oleh Ketua Diplomat Parti Komunis China, Yang Jiechi.
Sebelum ini, Beijing menolak untuk mengutuk secara langsung Rusia kerana melancarkan pencerobohan di Ukraine.
Beijing berulang kali menyalahkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kerana ‘meluaskan kuasa ke arah timur’ sehingga mencetuskan ketegangan yang semakin memburuk antara Rusia dan Ukraine.