WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengenakan sekatan terhadap China berhubung konflik peperangan di Ukraine.
Lapor South China Morning Post, Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen berkata, hal itu disebabkan Beijing tidak membekalkan bantuan ketenteraan kepada Moscow.
“Saya tidak fikir ia adalah keperluan atau tindakan yang perlu dibuat buat masa sekarang.
“Pegawai kanan AS sedang mengadakan perbincangan secara sulit dan rahsia dengan China bagi memastikan negara itu memahami kedudukan mereka,” katanya.
Perkembangan itu merupakan pendirian terkini Washington terhadap Beijing berhubung peperangan di Kyiv.
Sebelum ini, China enggan mengutuk tindakan Rusia terhadap negara jirannya mahupun menyifatkan serangan itu sebagai satu bentuk pencerobohan.
Kerajaan AS berkata, pihaknya memantau secara dekat sekiranya China didapati membekalkan sebarang bantuan ketenteraan atau kewangan bagi membantu Moscow berdepan serangan.
Peperangan yang sudah melebihi sebulan itu menyaksikan ribuan mangsa meninggal dunia dan jutaan bergelar pelarian dengan menyelamatkan diri ke negara seberang.
Menurut Yellen, Kerajaan AS sudah mendakwa Rusia dengan jenayah peperangan kerana melancarkan serangan terhadap orang awam dan kanak-kanak di seluruh Ukraine.
“Kami sangat mengambil berat sekiranya China membekalkan senjata kepada Rusia atau cuba mengelak sekatan yang dikenakan terhadap sistem kewangan Rusia dan bank pusat negara itu.
“Kami tidak lihat ia akan berlaku buat masa ini,” jelasnya.