SINGAPURA: Kumpulan aktivis haiwan mengecam tindakan eutanasia dijalankan terhadap babi hutan yang menyerang penduduk di kawasan bandar.
Eutanasia adalah suatu tindakan dengan sengaja membunuh haiwan dengan sebab tertentu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan lain selain melakukan eutanasia.
Lapor berita.mediacorp, Pengarah Kumpulan Pengurusan Haiwan Liar, Lembaga Taman Negara (NParks), Dr. Adrian Loo berkata, jika babi hutan dipindahkan ke tempat lain, terdapat risiko binatang itu akan tetap kembali ke kawasan bandar seperti jalan raya yang boleh menimbulkan bahaya kepada pemandu dan lalu lintas.
Jelasnya, babi hutan dipercayai berkeliaran ke kawasan bandar disebabkan sesat, dihalau kumpulan babi hutan lain atau terbiasa dengan makanan manausia.
“Kami tidak mahu memindahkannya kerana terdapat risiko ia akan berkeliaran ke tempat tinggal penduduk sekali lagi,” katanya dalam sebuah wawancara.
Ditanya mengapa babi hutan mungkin berkeliaran ke kawasan perumahan, kata beliau, perkara itu berkemungkinan disebabkan oleh pengurusan sisa pepejal yang tidak betul atau penduduk memberi makanan secara haram.
9 Mac lalu, babi hutan berkeliaran di kedai kopi di Blok 846, Jalan Yishun Ring dan menyondol seorang wanita, pada waktu petang.
Mangsa terjatuh dan terbaring di atas lantai selama 15 minit, sebelum anggota paramedik tiba di tempat kejadian.
“Pegawai polis berada di lokasi kejadian dan melihat babi hutan itu berlari keluar dari kedai kopi, lalu menghala ke Taman Yishun. Kami cuba memerangkapnya keesokan hari, namun ia berasa takut dan lari bersembunyi.
“Kami memasang kamera litar tertutup dan memantau kawasan itu. Babi hutan yang sama keluar dan pergi ke tempat pembuangan sampah sebelum kembali ke dalam hutan,” ujarnya.
Pasukan NParks kemudian menghadang babi hutan itu ke sebuah kawasan terkepung dan terus memantau haiwan itu selama hampir dua minggu.
Pasukan itu melepaskan penenang baling damak ke arah babi hutan yang menyebabkan haiwan itu tidak sedarkan diri sebelum proses eutanasia dijalankan terhadapnya.