BAMAKO: Sekurang-kurangnya 27 tentera maut dan 33 lagi cedera selepas sekumpulan pemberontak melancarkan serangan ke atas sebuah pangkalan tentera di tengah Mali.
Lapor Al Jazeera, kerajaan Mali menerusi kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya tujuh tentera masih hilang berikutan serangan di komune luar bandar Mondoro yang melibatkan bom kereta.
Jelas kenyataan itu, seramai 70 `pengganas’ terbunuh dalam tindak balas tentera.
Kerajaan bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut kumpulan senjata yang bertanggungjawab.
Pangkalan tentera Mondoro yang terletak berhampiran sempadan Mali dengan Burkina Faso pernah menjadi sasaran kumpulan pemberontak yang melawan tentera Mali dan asing.
Kira-kira 50 tentera maut dalam serangan ke atas Mondoro dan berhampiran kem Boulkessi pada tahun 2019.